Muzikal Tun Mahathir sudah sedia

Posted by Ciklinn Hasib.

Muzikal Tun Mahathir sudah sedia


Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani (berbaju Melayu) bersama barisan pelakon dan tenaga kerja kreatif Muzikal Tun Mahathir pada majlis pratonton fragmen muzikal tersebut di Lambang Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.


TINGGAL beberapa hari sahaja lagi, pementasan Muzikal Tun Mahathir (MTM) akan membuka tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Bakal dipentaskan selama 11 hari bermula 24 September ini, MTM dilihat sebagai sebuah karya yang mampu menarik perhatian masyarakat untuk datang menontonnya.
Belum pernah lagi kisah hidup seorang tokoh yang masih hidup diangkat ke pentas teater. Sudah pasti ia merupakan daya tarikan bagi masyarakat untuk menontonnya.
Apatah lagi, MTM juga mempertaruhkan nama-nama hebat seperti Erra Fazira, Esma Daniel, Zizan Nin, Erma Fatima, Datuk Jalaludin Hassan dan Misha Omar yang dilihat mampu meninggalkan kesan yang bukan sedikit.
Ketika ini, pelbagai perasaan sedang mencengkam individu seorang ini sewaktu diajak bercerita tentang MTM.
Selaku penerbit MTM, Siti Rohayah Attan mengakui, dia tidak senang duduk buat masa ini selagi teater itu belum dipentaskan.
Banyak perkara yang difikirkannya bagi memastikan ia berjalan dengan lancar seperti mana yang telah dirancang.
Berbeza dengan pementasan lain di bawah syarikat produksinya, CTRA Production Sdn. Bhd., MTM menyaksikan Siti Rohayah melibatkan dirinya secara total dengan penerbitan.
Baik dari segi jalan cerita sehinggalah ke pemilihan lagu-lagu yang melatari pementasan itu.
Di sebalik kebimbangannya itu, tiba-tiba wajahnya dengan pantas mengukir senyuman sewaktu diajukan tentang sambutan dan penjualan tiket.
Dalam nada teruja, Siti Rohayah melahirkan rasa syukurnya apabila tiket-tiket untuk lima persembahan MTM iaitu 24 hingga 26 September dan 1 hingga 2 Oktober semuanya sudah habis dijual.
Dengan penuh optimis, dia tidak menolak kemungkinan penjualan tiket yang laris bagaikan pisang goreng panas itu semuanya ada kaitan dengan ketokohan Dr. Mahathir itu sendiri.
"Seperti mana yang kita tahu, Tun Dr. Mahathir merupakan tokoh negara yang cukup dikagumi, dihormati dan disayangi oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia.
"Secara dasarnya, kita sudah melihat kejayaan dan kecemerlangannya sepanjang 22 tahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri.
"Saya percaya ramai yang mahu datang menonton teater ini dan menyaksikan sendiri bagaimana kisah hidup Tun Dr. Mahathir diceritakan menerusi pementasan ini," ujarnya tentang pementasan yang turut mendapat sokongan Kumpulan Utusan sebagai rakan media rasmi.
Tambahnya, MTM menawarkan harga tiket yang cukup murah iaitu RM20 khusus bagi pelajar sekolah untuk persembahan waktu petang pada 25 September dan 2 hingga 3 Oktober sahaja.
"Melihatkan respons yang diberikan itu, IB sedang menimbangkan untuk melanjutkan lagi tempoh pementasan. Bukan itu sahaja, kalau sambutan terus hangat, kami akan memikirkan untuk musim kedua pula," ujarnya.
Selain itu, Siti Rohayah turut berbangga dan mengucapkan terima kasih kepada badan-badan korporat dan swasta yang sudi menghulurkan bantuan serta penajaan bagi merealisasikan pementasan ini.


ciklinn- seronoknya kalau dapat gi tgok pementasan nie..... ermm... kena mintak tolong acik biha jaga Umar nie..... :)

This entry was posted in , .

3 Responses to Muzikal Tun Mahathir sudah sedia