Adakah Pembunuh Adik Nurin Kembali???

Posted by Ciklinn Hasib.

modus operandi yang sama...... dan macam yg kita tahu pembunuh adik nurin masih belum dijumpai... Ciklinn harap sangat  semoga pembunuh bersiri ni ada membuat sikit kesilapan yang dapat dikesan supaya pihak polis dapat menangkapnya.........


AMPANG: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai dibunuh ditemui dalam beg pakaian berwarna hitam dengan tubuh dan kakinya dilipat bersama-sama sejumlah pakaian, semalam.

Beg berisi mayat itu ditemui pekerja bengkel berhampiran kawasan semak di tepi parit tidak jauh dari tanah rizab Jabatan Bomba dan Penyelamat di Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang, kira-kira jam 3.30 petang.

Kejadian menyayat hati itu hampir mengulangi insiden sama pada 17 September 2007 lalu apabila mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, turut ditemui mati dibunuh dalam beg pakaian sebelum dibuang di Petaling Jaya.

Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang ditemui di lokasi kejadian turut tidak menolak kemungkinan mangsa diculik sebelum dibunuh kejam.

Walaupun tiada sebarang laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan di daerah Ampang, beliau percaya kemungkinan mangsa dibawa dari luar daerah ini sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.

“Oleh itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera membuat laporan polis,” katanya.

Difahamkan, pekerja bengkel terbabit menemui beg berisi mayat itu ketika dia melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari Rumah Bakti Hulu Klang.

Pekerja terbabit dikatakan menunggang motosikal melintasi jambatan berhampiran sebelum melihat satu beg hitam mencurigakan dibuang di kawasan itu.

Sifat ingin tahu menyebabkan lelaki terbabit cuba mengangkat beg berkenaan, namun mendapati ia terlalu berat dan menyangka beg berkenaan mengandungi wang tunai.

Bagaimanapun, apabila dibuka, dia ternampak kaki manusia terjulur dalam beg berkenaan, menyebabkan dia bertempiaran lari dan membuat laporan polis.

Abdul Jalil berkata, bertindak atas laporan diterima sepasukan anggota unit ronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang segera dihantar ke lokasi kejadian.

“Pemerhatian awal mendapati mangsa remaja perempuan berusia lingkungan 12 hingga 13 tahun. Ketika ditemui mangsa memakai gaun biru dan ditutupi baju lusuh yang turut disumbatkan ke dalam beg itu.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan darah pada pakaian dipakai mangsa,” katanya. Menurutnya, mangsa yang berkulit sawo matang dan berambut lurus paras bahu dipercayai baru dibunuh dan dibuang ke kawasan itu.

“Besar kemungkinan remaja perempuan itu rakyat tempatan, namun siasatan lebih terperinci masih dilakukan. Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh kurang 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, siasatan awal unit forensik polis mendapati terdapat kesan lebam pada leher mangsa, namun belum dipastikan sama ada ia kesan cekik atau jerutan.

“Selain itu polis turut menemui satu beg tangan mengandungi nama lelaki, mungkin warga Indonesia berserta nombor telefon. Polis akan menjejak lelaki itu untuk mengetahui kaitannya dengan mangsa,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ditanya sama ada mangsa turut diperkosa sebelum dibunuh, Abdul Jalil berkata, pihaknya belum dapat memastikannya sehinggalah bedah siasat dijalankan.

“Tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa. keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa berkenaan,” katanya.

This entry was posted in , .

Leave a reply